Followers

CERITA CIKGU

SHAWN & SHANIE

Shawn dan Shanie adalah kucing baru cikgu. Seekor betina dan seekor jantan. Beberapa hari lepas cikgu beli kucing ini dalam keadaan mereka yang tidak terjaga, kotor dan berbau busuk dengan najis. Si Shanie tu ekornya luka dan berdarah. Kedua-duanya kurus dan dalam keadaan takut. Setelah seminggu cikgu merawat, membersih dan memberi makan 'Royal Canin' keadaan mereka kini bertambah baik. Tetapi, si Shanie ni malas sikit nak cuci muka. Jadi setiap hari cikgu yang cucikan untuk dia. 

KUCING MURAH DI BULAN RAMADHAN = RM100

Seorang pemanggil menelefon cikgu dan beritahu kepada cikgu yang dia ada 5 ekor kucing jenis domestic shorthair yang dia hendak jual dengan harga yang murah kepada cikgu. Kata kakak tu yang dia dah tak 'larat' nak bagi makan sebab kucing-kucing tu makan kuat sangat. Sangkar yang sedia ada tersangatlah kecil dan dah tak muat. Cikgu simpati kepada kakak tu dan juga kucing-kucing tu. Oleh itu, cikgu pun beli semuanya. Kucing-kucing ni cantik, bersih dan semuanya mata biru. Ok, sekarang cikgu nak 'offer' kepada semua pengunjung laman blog ni, harga cuma RM100 seekor. SIAPA CEPAT DIA DAPAT!

KUCING DI HADNYAI THAILAND

Pintu masuk sempadan Thailand di Danok. Pegawai imigresen Thailand yang berkerja sambil bersantai. Sebenarnya pegawai-pegawai ini tak pandai bercakap bahasa melayu. Cakap bahasa Inggeris pun tak boleh, jadi cikgu guna bahasa isyarat. Lihat, pegawai yang kat dalam tu dah ketawa.
Ketika cikgu dan keluarga merayau-rayau di Hadnyai, tiba-tiba terserempak dengan penjual binatang peliharaan. Kucing, arnab dan ikan hiasan dijual di tepi jalan. Ingatkan murah, maklumlah berniaga tepi jalan tetapi dugaan cikgu meleset. Harganya 'lebih kurang' macam kat Malaysia juga.
Kucing-kucing keletihan dan tak mahu bermain mungkin kerana cuaca yang panas. Kucing yang putih tu cantik tetapi cikgu tak berani nak beli sebab menjadi kesalahan kalau nak bawa keluar apa sahaja jenis binatang hidup dari Thailand. Perlu dikuarantin terlebih dahulu. Kalau kena tangkap, 'makan tak habis'.
Kasihan kucing yang keletihan ini. Mungkin disebabkan sangkar yang kecil menyebabkan ia kurang bergerak dan bersenam. Jadi asyik makan dan tidur. Cikgu lihat di telinga dan ekor ada kurap yang perlu dirawat.
 Comelkan? Yang ini dia tak nak jual. Katanya dah ada orang 'booking'. Sebenarnya cikgu tak faham apa yang dia cakap sebab dia cakap bahasa siam. Orang siam ni sebenarnya ramah macam kita, orang melayu. Bersungguh-sungguh dia bagi penjelasan. Malangnya dia cakap siam, macamlah kita ni tahu apa yang dia katakan.
Masuk ikut Danok dan keluar ikut Satun ( Wang Klian ). Hujan turun renyai-renyai. Di Thailand tak beli apa pun, cuma jalan-jalan menghabiskan cuti Hari Kemerdekaan, 31 Ogos 2010. Kebiasaannya kalau ke Thailand dari Hadnyai cikgu  akan ke Songkla, Yala atau Naratiwat tetapi kali ini tak berani pergi, takut kena BOMM!!!! Lega masuk ke Malaysia yang aman dan damai. " Sayang Malaysia"

KISAH KUCING

Penantian dipagi hari. Krimi, Lela, Manja, Abu dan Kiko sedang menanti berhampiran pintu pondok. Setiap pagi isteri cikgu akan masuk ke dalam pondok untuk memberi makan serta membersihkan pondok. Sebelum itu isteri cikgu akan membelai setiap seekor.

Snowy namanya. Mengandungi ni, dah sebulan. Kucing kebiasaan mengandung selama 63-65 hari. Sebenarnya snowy ini cikgu kahwinkan dengan seekor kucing jantan baka 'Persian-Flat Face'. Cikgu harap anak-anaknya akan ikut fizikal bapanya yang tersangatlah comel dari jenis 'long hair'. Seorang kawan cikgu dah 'booking' nak beli seekor. Kita lihatlah nanti apa hasilnya.
Empat kembar yang periang. Main, main, main, asyik main..nn saja. Seronok melihat telatah mereka. Hidup tanpa masalah. Kadang-kadang cikgu terfikir juga nak jadi kucing. Makan, minum dan tempat tinggal tersedia. Najis pula, tiap-tiap hari orang tolong buangkan. Tetapi kenalah selalu berdoa, harap-harap orang tak buang kat tepi jalan. Kasihan...
Nama kucing ini Abu. Walaupun baru berusia 5 bulan tetapi si Abu ini saiznya besar sebab bapanya Maine Coon dan ibunya Persian. Tersangatlah manja. Setiap hari mesti dukung dia. Kalau tak dukung nanti dia nangis, nangis, nangis la.

KEDIAMAN SAYANG SICOMEL

 Sebagai seorang pencinta kucing, cikgu mengutamakan suasana kehijauan dengan berbagai tumbuh-tumbuhan untuk keselesaan kucing peliharaan. Kucing sebenarnya juga mempunyai perasaan atau emosi seperti kita. Kucing yang emosinya terganggu boleh menjadi penakut, garang, menyendiri, tidak mahu makan, sakit dan sebagainya. Jadi, hormati dan sayangilah kucing.
Cikgu bina sendiri pondok kayu ini dengan anak-anak cikgu, gotong-royong. Tiga hari baru siap. Pondok kayu ini saiznya 6' x 9', siap dengan bilik-bilik penginapan. Jimat kos kalau bina sendiri. Pondok ini adalah yang pertama kali cikgu bina untuk kucing-kucing kesayangan cikgu. Pondok ini dinamakan 'Kipas Engko' sebab atas bumbungnya ada kipas kayu, cikgu beli di Hatnyai.
Si Mimi sedang merenung jauh ke bawah bukit, menikmati keindahan pemandangan. Pondok ini ini saiznya 5' x 6'. Cikgu upah tukang besi. Cikgu namakan pondok 'Pelamin' sebab dipondok ini cikgu kahwinkan kucing-kucing cikgu. Kebersihan lantai penting untuk memastikan bulu kucing tidak kotor dan berbau busuk dengan najis.
Pondok besi yang besar dan selesa ini saiznya 10' x 24'. Di dalamnya terdapat 4 buah meja bersaiz 4' x 8' serta lengkap dengan lampu, kipas, sinki dan alat permainan. Pondok ini sangat selesa dan semua kucing dibiarkan bebas bermain. Di pondok ini juga tempat cikgu mandikan kucing-kucing cikgu. Pondok ini namanya 'Satu Malaysia' sebab tukang besinya kawan cikgu seorang India. 
Berbagai jenis makanan kucing disediakan untuk memastikan semua kucing-kucing cikgu mendapat zat yang cukup. Bekas kedap udara dapat memastikan makanan dalam keadaan baik, tidak 'masuk angin' dan mengekalkan keharumannya. Ini penting kerana dapat membangkitkan selera kucing untuk makan makanan tersebut. Lihat di belakang bekas makanan itu ada 2 buah sangkar untuk kucing yang baru cikgu beli.
Cikgu dan seluruh keluarga suka pokok bunga. Kalau hari cuti, semua ahli keluarga akan bergotong-royong menyiram, membaja dan membersihkan kawasan. Setiap dua minggu sekali kami akan mandikan semua kucing supaya bulunya elok dan tidak dijangkit fungus, kurap, kutu dan hama.
Ringkas dan menarik. Air terjun di celahan pokok-pokok keladi. Di belakang pondok kucing cikgu gantung kanvas yang besar untuk elak dalam pondok terlalu panas. Kalau terlalu panas kucing tidak selesa. Nanti lidahnya terjelir. Jadikan cikgu sediakan sebuah kipas besar untuk dipasang waktu tengah hari.
Bilik rawatan untuk kucing yang tidak sihat dan untuk anak kucing yang baru lahir. Bilik ini berhawa dingin untuk memudahkan mengawal suhu bilik. Kucing tidak selesa jika terlalu sejuk atau terlalu panas. Lihat di atas sangkar sebelah kanan, ada mentol lampu untuk memanaskan anak kucing yang kehilangan ibu supaya tidak mati kesejukan.
Peti sejuk khas untuk ubat-ubatan kucing seperti ubat cacing, demam, selesema, batuk, krim anti-fungus, kurap, mata bertaik, mata bengkak, ubat luka, cecair pembunuh kuman, vitamin, penyembur anti hama / kutu, antibiotik dan cecair pencuci telinga. Kalau nak cucuk vaksin, cikgu bawa ke klinik vaterinar. Kalau ada kucing yang sakit perlu segera dipisahkan daripada yang lain. Nanti boleh berjangkit.

SANGKAR PASANG SIAP


Abu yang tidak mahu bergaul dengan kucing-kucing yang lain memeningkan kepala cikgu. Ramai yang dah kena penampar dengan dia. Sebelum 'tragedi berdarah' berlaku, lebih baik cikgu asingkan dia dan kawan karibnya si Krimi ( kaki ampu ). Misi ini cikgu namakan 'Misi Keamanan'. Fikir, punya fikir, punya fikir, cikgu bercadang nak bina sebuah sangkar pasang siap.
Si Abu dapat rumah baru. Sangkar pasang siap yang dipasang dalam tempoh masa 30 minit. Kos pembinaan hanya RM600 sangatlah menjimatkan. Kalau sangkar kayu kos pembinaannya lebih tinggi. Jadi cikgu pilih nak bina sangkar yang jenis pasang siap kerana banyak faedahnya.
Proses mencuci setelah sangkar siap dipasang. Abang dan adik bekerjasama memastikan lantai bebas daripada kekotoran.Tanpa kerjasama seluruh keluarga cikgu tak mampu nak jaga semua kucing-kucing ini. Yang hebatnya anak-anak cikgu, semuanya minat kucing.
Anak cikgu gigih memasang sangkar pasang siap. Sekejap sahaja dan nak siap. Semua ada 13 keping petak 'VRC' yang siap dipasang bingkal yang bersaiz 3' x 6'. Satu daripadanya adalah bingkal berpintu yang dipasang dengan selak. Lihat, bumbung sangkar ini juga dipasang dengan 'VRC' untuk elak kucing panjat keluar.
Cara memasang 'cable tight' oleh anak cikgu. Sikecil tu 'engineer', sedang memerhatikan betul tak cara si abang pasang. Takut juga, nanti boleh runtuh atas sikucing. 'Cable tight' kalau boleh cari jenis yang tebal, boleh tahan lama. Di kedai ada bermacam saiz. Ini jenis yang panjangnya 30cm.
Saiz sangkar 6' x 9'.  Banyak kelebihannya antaranya ialah : (a) Senang dipasang (b) Boleh diubah ke mana sahaja dengan mudah (c) Mudah jika hendak diluaskan atau dikecilkan saiz (d) Kemas, kuat dan cantik. Jika hendak luaskan lagi saiz hanya perlu tambah kepingan 'VRC' dan juga boleh disusun dalam berbagai bentuk.